Lakonlayar atau skrip adalah satu nashkah bertulis bagi sesebuah filem. Ianya mungkin dihasilkan berbulan lamanya sebelum sesuatu filem itu diterbitkan dan merupakan blueprint bagi sebuah filem. Lakonlayar yang dihasilkan mesti mengandungi maklumat yang sewajarnya bagi menghasilkan sesebuah filem, apa sahaja, seperti karektor, katabual, aksi hinggalah kepada keperluan lokasi, peralatan dan juga sudut kamera. Selalunya lakonlayar yang disediakan adalah hasil dari proses percambahan idea asal selepas perbincangan yang berterusan dengan penerbit, pengarah dan kadang-kadang, pelakon serta kakitangan lain dalam pasukan penerbitan. Skrip ditulis berulangkali dan merupakan draf, kerana idea selalunya berubah mengikut kesesuaian. Proses penulisan semula ini akan berterusan sehinggalah lakonlayar itu siap untuk diterbitkan.
langkah pertama
Seperti karya kreatif yang lain, menulis lakonlayar perlukan kesabaran dan kerana ianya mungkin memerlukan masa yang panjang untuk dihasilkan. Tetapi perkara paling penting ialah bagaimana anda memilih cerita yang hendak ditulis? Ada pelbagai kemungkinan, sebagai contoh ; apakah perkara yang betul-betul menarik perhatian anda? adakah mengenai sukan?, kisah cinta? lari dari rumah? penemuan mayat? atau memikirkan tentang hari esuk dan masa depan?. Sekiranya masih belum ada, cuba semak akhbar, ada apa-apa yang boleh menarik perhatian anda? atau cuba ingat kembali tentang perbualan anda dengan rakan-rakan, tentunya ada sesuatu yang menarik kan? atau cara paling mudah cuba fikirkan perkataan sekiranya... apa akan berlaku...dan lagi, dan lagi... dan seterusnya. Setiap orang mempunyai cerita yang perlu disampaikan, kelebihan anda adalah bakat yang dianugerahkan sebagai penulis, gunakan kesempatan ini.
cerita anda
Sekiranya anda mendapat surat yang menyatakan anda telah menang satu peraduan, atau sekiranya anda diberitahu bahawa ibu anda meninggal dunia, atau sekiranya anda terjumpa sesuatu dalam makanan anda, atau sekiranya bila celik saja mata selepas tidur panjang, anda dapati sudah berada di tempat asing yang tidak pernah dikunjungi, sekiranya...sekiranya...., Jangan tunggu lagi, gunakan bakat dan kesempatan yang ada, tulis..tulis..tulis..kerana itulah asas kepada penceritaan anda. Tulis mengenai apa yang anda rasa dan tahu, gunakan watak-watak yang anda kenali sebagai asas kepada penciptaan karektor dan gunakan latar yang anda suka. Teruskan menulis.
Cerita yang digerakkan karektor atau plot?
Yang mana satu jadi pilihan, cerita yang digerakkan oleh karektor atau cerita yang digerakkan oleh plot; jika anda menyukai kisah cinta, cerita anda mungkin berkisar di sekitar hidup seseorang dan kaitkannya dengan hidup anda, atau mungkin mengenai penyiasatan satu pembunuhan, tentang pencarian bukti bagi melengkapkan siasatan dan motifnya. Kedua-dua contoh tersebut, kisah cinta adalah cerita yang digerakkan oleh karektor, bermakna ianya mengenai kehidupan seseorang dan bagaimana kejadian atau peristiwa tertentu mempengaruhi hidupnya, manakala contoh kedua ialah kisah pembunuhan, tentang cerita yang digerakkan oleh plot, di mana tumpuan diberikan kepada kejadian yang berlaku yang menyebabkan wujudnya penceritaan seterusnya. Tidak dinafikan, wujud karektor dan kejadian bagi setiap penceritaan, tetapi pastikan, karektor ataupun plot yang menjadi keutamaan cerita anda.
konflik
Seperkara lagi, anda mesti mempunyai sebab untuk menguatkan cerita anda, tidak ada gunanya jika anda menulis tentang seorang wanita yang perlukan teman lelaki dan dengan mudah mendapatkannya, terlalu mudah, cara paling baik ialah dengan mencipta konflik. Jika wanita itu inginkan teman lelaki, tetapi dihalang, halangan budaya, halangan keluarga, atau masalahnya sendiri, anda perlulah mencipta situasi yang menyebabkan timbulnya konflik dan cerita anda akan dikembangkan berdasarkan konflik tersebut. Setiap plot memerlukan konflik, contoh mudah, seseorang penjenayah cuba melakukan pelbagai cara supaya tidak ditangkap, manakala pihak berkuasa (polis?) pula perlu melaksanakan tanggungjawab menegakkan undang-undang. Konflik tidak sahaja berbentuk luaran, malah boleh juga berbentuk dalaman (dalam kepala setiap karektor), dan setiap cerita yang baik memerlukan kedua-duanya sekali.
Perkembangan watak
Bila menulis, pastikan setiap watak mempunyai tujuan, halangan yang dihadapi ke arah mencapai tujuannya itu, samada berjaya atau tidak, itulah yang akan menjadi cerita anda. Pada peringkat ini, anda perlu memberi nama kepada setiap karektor, sejarah dan latar belakangnya, bentuk fizikalnya, perasaannya samada sediah, marah atau kecewa. paling mustahak, jelaskan siapa sebenarnya dia pada setiap permulaan cerita dan pengakhiran cerita, bagaimana dia berubah, macam mana boleh berubah dan siapa sebenarnya dia di hujung cerita. Inilah sebenarnya perjalanan hidup katrektor dalam cerita itu yang menjadi tulang belakang kepada cerita anda.. Semakin dinamik sesuatu karektor dalam sesebuah cerita akan menjadikan cerita anda lebih menarik.
Penceritaan
Skrin pawagam atau TV adalah kosong dan perlu diisi. bagaimana hendak memulakannya, siapa yang terlibat dalam cerita itu, apa tujuan mereka, macam mana dengan latar belakangnya, bagaimana mereka akan menempuh perubahan dan hubungkait mereka terhadap cerita utama dan karektor utama; sedikit demi sedikit anda boleh menggarapnya dalam bentuk perkataan demi perkataan. Genre dan struktur cerita mestilah yang boleh menarik perhatian. Genre bila diguna pakai untuk penulisan skrip filem dan filem itu sendiri hendaklah berdasarkan peraturan tertentu yang ada kaitan dengan struktur cerita.
Genre
Genre adalah satu bentuk penceritaan, bukannya formula tetapi merupakan satu cara memahami struktur sesebuah cerita. Genre, apabila diterapkan ke dalam sesebuah filem, ia mestilah disesuaikan mengikut susun atur sesebuah struktur. Genre juga adalah satu konsep yang agak abstrak, adalah lebih mudah dijelaskan melalui contoh yang relevan, seperti cerita detektif, thriller, film noir, seram, kisah cinta, komedi, bio-pics, fiksi sains, dan lain-lain.
Bagi memastikan cerita anda adalah asli, fikirkan cara menggarapnya, dan tidak pernah dibuat sebelum itu. Kesilapan besar penulis ialah cuba membuat eksperimen dalam berkarya. Khalayak sebenarnya telah memahami genre dan selalu mengharapkan sesuatu yang berbeza, jika anda tidak dapat memenuhi hasrat mereka, bermakna anda gagal. Setelah mendapat ilham mengenai sesuatu cerita, pastikan anda memilih genre mana yang perlu dipilih, lihat contoh-contoh filem yang pernah diterbitkan, jadikan panduan.
Beberapa perkara perlu diambil perhatian bila memilih genre ; protagonis atau karektor utama, adakah seorang yang lembap pada permulaan, dan secara perlahan wataknya dikembangkan, adakah dia seorang dewasa atau remaja, adakah dia cerdik atau bodoh. Macam mana dengan antagonis, korektor yang bertentangan dengan watak utama, adakah dia jahat, adakah dia seorang manusia atau haiwan. Begitu juga dengan kejadian-kejadian yang merubah segala-galanya, khususnya di permulaan cerita, dan bagaimana keadaan seterusnya yang mengakibatkan kejadian-kejadian lain sehingga selesai cerita. Bagaimana pula dengan bentuk penceritaannya, adakah ia merupakan sebuah cerita yang sarat dengan aksi dalam tempoh yang pendek atau lama dan bagaimana pula dengan kesan-kesan dramatiknya. Kesemuanya ini perlu diambil kira.
Ada lagi....
No comments:
Post a Comment