Pemilihan Perkataan dan susunan ayat
Teliti memilih perkataan semasa menulis, kesilapan menulis satu perkataan atau susunan ayat akan merubah maksud, kesan dan tafsiran terhadap apa yang anda tulis. Setiap perkataan dan ayat yang anda tulis mesti mempunyai sebab. Perkataan atau ayat-ayat yang tidak sesuai mesti dielakkan dari digunakan.
Fokus Dramatik
Dalam apa juga keadaan, tidak ada apa-apa halangan untuk anda berkarya. Tidak ada subjek yang memualkan (boring), kecuali cara anda menulis. Anda mesti tentukan fokus sebenar tentang apa yang hendak anda tulis dan juga untuk siapa? untuk anda dan yang penting penonton sasar (target audience). Bukannya senang untuk menggarap sesuatu perkara sekiranya tidak diselidiki terlebih dahulu. Biasanya, hasil tulisan yang baik datangnya dari sesuatu perkara atau subjek, tema yang dipilih dan pengalaman yang ditempuh oleh anda; bermakna anda bukan sahaja mengetahui malah memahami mengenai perkara itu. Fokus dramatik bukannya bermakna menumpu perhatian kepada perkara yang luar biasa dan yang mengejutkan. Penjelasan tentang bagaimana seseorang itu membuat persiapan untuk temujanji atau date (seperti pemilihan pakaian dan aksesori dan persepsi terhadap temujanji itu sendiri) sudah menjelaskan tentang cinta dan keinginan serta perasaan sebenar jika dibandingkan dengan pendekatan yang klise seperti mengharapkan seseorang itu menghadiahkan sejambak bunga semasa pertemuan pertama. Penulis yang baik bukan sahaja menulis berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, tapi juga dengan perasaan
Simbol
Cerita, lakon tv dan lakon layar dan apa saja tulisan kreatif mesti mempunyai simbol seperti objek, aksi atau apa saja kejadian yang secara tidak langsung juga mempunyai simbol. Sebagai contoh, Mariam seorang pelakon telah meninggalkan `hadiah statue’ di dalam bilik air, sebelum itu dia menerima anugerah tersebut dalam satu majlis gilang gemilang. Simbolnya : kejayaan tidak bermakna buatnya kerana tidak memberinya erti kebahagiaan, bukankah anugerah itu adalah simbol kejayaannya, tetapi ditinggalkan di bilik air? apa yang dicarinya, sudah tentu kebahagiaan hidup bukannya kejayaannya sebagai pelakon. Maka, pilihlah apa juga perkara, kejadian hatta aksi-aksi tertentu sebagai simbol yang bermakna. Kepentingannya akan dirasai seiring dengan perkembangan plot.
Gambaran
Manusia berfikir sambil membayangkan sesuatu, dalam bentuk gambar atau imej. Dengan menulis sambil membayangkan gambaran tertentu, ianya memudahkan penonton merasai dan menikmati gambaran secara jelas serta meyakinkan. Kita boleh mencipta gambaran yang terbaik dalam kotak fikiran kita, hanya sekiranya itu yang kita mahukan, tetapi cuba tanya diri sendiri, adakah itu gambaran yang hendak kita paparkan dan apakah itu yang kita mahu?. Gambaran boleh dicipta dengan tulisan yang ringkas atau mengikut kesesuaian, tetapi hasil tulisan yang teliti walaupun ringkas dapat menghasilkan gambaran yang lebih jelas dan bermakna. Sebagai contoh cuba perhatikan ayat ini `kerja adalah satu bentuk perhambaan, dari mula anda belajar berjalan hinggalah dikapan dan dikebumikan di liang lahad’. Ayat ini cuba menjelaskan tentang perhambaan manusia terhadap `kerja’ yang terpaksa dilakukan dari mula mengenal kehidupan sehingga tiba saat kematian.
Saat-Saat Genting (Tension)
Tulisan anda semestinya mempunyai elemen` tension’. Pilihlah saat dan waktu yang terbaik untuk menulis mengenainya, kerana bila perkara-perkara tersebut ditulis dengan teliti dan baik, sebarang perubahan, penemuan baru dan pengubahsuaian menjadi sebahagian dari proses pembaikan apa yang ditulis. Melalui elemen `tension’ kita secara tidak langsung menyentuh emosi dan perasaan seseorang penonton. Tanpa elemen ini, penonton tidak akan tertarik sama sekali dengan apa yang anda tulis. Oleh itu, semasa menulis tanya diri sendiri, di mana dan bila elemen `tension’ ini perlu dimasukkan kerana tension itu sendiri akan menimbulkan elemen ragu-ragu, cemas, jangkaan, ketakutan, kejutan, perasaan tidak percaya, harapan dan kesamaran terhadap sesuatu isu yang dipersembahkan, kesemua ini adalah intipati yang baik untuk anda berkarya. Drama sebenarnya adalah situasi mengenai kehidupan manusia dan bagaimana mereka boleh berubah kerana situasi tersebut.
Pengucapan dan Suara
Pengucapan katabual (dialog) di dalam sesebuah cerita mesti meyakinkan. Katabual (dialog) mesti dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak perlu ungkapan yang berjela-jela, bagaimanapun bagi setengah-setengah cerita mungkin memerlukan katabual yang banyak. Harus diingat, katabual bukan persembahan. Katabual yang boleh mempengaruhi emosi dan mewujudkan ketegangan adalah lebih baik dari penjelasan deskripsi terhadap sesuatu perkara, tetapi bukan dalam semua cerita, ianya bergantung kepada situasi. Bila menggunakan katabual, pastikan ianya betul-betul berguna jika dibandingkan dengan deskripsi. Katabual yang tidak menarik sepatutnya dielakkan sama sekali. Hasil tulisan yang sempurna jarang dikesan oleh penonton kerana mereka lebih tertarik terhadap kesan khas seperti kesan visual dan kesan bunyi semasa menonton. Sebagai penulis anda mesti memasukkan elemen ini dalam tulisan anda. Jangan sesekali memasukkan katabual yang langsung tidak berkaitan dan tidak relevan kerana ianya adalah satu pembaziran.
Kebolehpercayaan
Jika hasil tulisan anda tidak dikaitkan dengan kebenaran, ianya tidak akan diterima. Penulis yang memahami konsep menulis drama adalah penulis yang tahu fokus penceritaan yang berkaitan dengan `kehendak manusia’ dan menyentuh tentang perasaan dan isu yang berkaitan dengan hidup manusia. Memilih fokus cerita dengan tema yang universal, samada ianya cerita betul atau rekaan, tetap tidak boleh dipisahkan dengan kebenarannya. Kebenaran itu mungkin dalam bentuk fakta dan juga unsur-unsur yang digunakan, contohnya : simbol. Dalam sesebuah drama, tahap kebolehpercayaan yang bersifat universal, seperti sesuatu yang memberi makna kepada kehidupan manusia hendaklah digunakan bagi memudahkan penonton kita memahami dan menerima hasil karya kita.
Perspektif yang berbeza
Anda mesti mengambil pendekatan yang berbeza semasa menulis sesuatu cerita. Penonton lebih tertarik melihat sesuatu yang berbeza dari kebiasaan, walaupun kadangkala ianya amat mencabar otak anda. Jadikan diri anda seorang penulis yang berkarya di luar kebiasaan (out of the box).
No comments:
Post a Comment