Thursday, July 25, 2013

Skrip atau Skrap

Penulis skrip selalu dilupakan bila nashkah mereka berjaya mendapat perhatian khalayak melalui anugerah. Mereka tidak glamour seperti artis dan pengarah. Mereka selalu disisihkan, tetapi ramai orang mempunyai cita-cita menjadi penulis skrip.

Skrip adalah elemen paling penting dalam penerbitan drama dan filem. Setiap orang ada idea atau cerita tapi bukan setiap orang mampu menjadi penulis. Penulis bukan penerbit. Penulis bukan pengarah. Penulis adalah penulis. Ada penulis yang jadi pengarah dan ada pengarah yang jadi penulis. Ada juga penerbit jadi penulis dan pengarah. Tapi penulis adalah penulis.

Karya atau nashkah adalah produk yang perlu diterjemahkan ke medium visual. Di sini bukan lagi kerja penulis, tetapi penulis mengharapkan apa yang ditulis menjadi kenyataan. Seringkali timbul isu, penulis mempersoalkan tindakan penerbit atau pengarah menulis skrip yang ditulis penulis. Kenapa jadi macam ini? Nashkah yang ditulis selalunya mempunyai pelbagai keperluan untuk dipindahkan ke dalam bentuk visual dan sudah tentu ianya melibatkan kos. Penerbit mempunyai pilihan untuk mempertimbangkan samada bersetuju dengan skrip yang ditulis atau sebaliknya. Penerbit mempunyai tanggungjawab perniagaan. Pengarah pula mempunyai tanggungjawab sosial dan komitmen kepada penerbit. Maka penulis harus faham bahawa setiap nashkah sepatutnya hebat bagi diri penulis itu sendiri dan juga hebat bagi penerbit dan pengarah.

Nashkah yang hebat bukanlah sesuatu yang ideal. Nashkah hebat tanpa khalayak akan dilupakan. Maka, penulis seharusnya memikirkan khalayak sebelum menulis. Pastikan penulis mengenalpasti siapa audiennya. Isunya, penulis berasakan mereka sudah cukup hebat dan beranggapan setiap karya mereka sudah cukup sempurna. Penulis yang hebat sebetulnya tidak pernah berasakan diri mereka hebat, mereka sentiasa mencari kesempurnaan dan kesempurnaan itu sendiri adalah satu utopia. Kenapa? di manakah kayu ukur karya yang hebat? anugerah?. Anugerah tidak boleh dijadikan kayu ukur kehebatan penulis, terlalu subjektif. Anugerah adalah satu pengiktirafan pada sesuatu ketika dan bukan untuk selamanya.

Maka setiap kali anda menulis skrip, fikir-fikirkan apa objektif anda? siapa khalayaknya? siapa penerbitnya? siapa pengarahnya? siapa penyiarnya?. Anda mesti menjadi penulis skrip bukan pembikin skrip. Jangan jadikan skrip anda seperti scrap.

No comments:

Post a Comment