Thursday, July 25, 2013

Note on Play Construction

Pengenalan

Perkataan playwright adalah tepat sekali untuk seseorang yang mengerjakan seni playmaking, kerana dia adalah seorang pencipta kepada sesebuah karya, sama seperti jurubina yang membina sebuah kapal. Pembinaan dan penghasilan sesebuah karya amatlah sukar kerana memerlukan kepakaran khusus, tetapi boleh dipelajari.

Kepakaran tidak semestinya menjadikan seseorang itu dapat berkarya dengan baik, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengajar anda mencipta kehidupan seorang karektor yang terus menarik minat dan simpati audien. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong anda mencipta katabual yang meyakinkan. Bakat dan  memahami proses penciptaan karya membantu seseorang itu menghasilkan karya, kadangkala memakan masa bertahun-tahun melalui proses `trial and error’. Usaha seperti ini akan mematangkan seseorang penulis dan secara tidak langsung membolehkan mereka mengenali kebolehan dan kelebihan diri masing-masing, seterusnya dapat melahirkan lebih ramai penulis yang diperlukan dalam industri.

Menghasilkan sesebuah karya, memang mudah, tetapi menghasilkan karya yang betul-betul baik dan dapat diterima audien adalah satu cabaran yang menjadi objektif utama seseorang penulis. Karya yang baik dan bermutu bukan saja merangsang minda bawah sedar audien, bahkan ianya akan menjadi bahan rujukan sebagai salahsatu karya agung seseorang penulis.

Misi utama seseorang penulis ialah untuk menarik perhatian, minat serta mengekalkan tumpuan kepada karya yang anda hasilkan dari mula hingga selesai. Jika tidak, karya tersebut akan menemui kegagalan, kerana sesebuah karya itu adalah antara maklumat yang dikongsi secara bersama, jika tidak diyakini dan difahami, sudah tentu audien tidak akan menerimanya. Selain dari itu, sesebuah karya mesti mempunyai elemen penting drama seperti aksi, tension, katabual dan karektor yang meyakinkan.

Aksi (action)

Aksi adalah elemen drama yang penuh misteri dan paling penting. Drama itu sendiri membawa maksud aksi. Aristotle menjelaskan bahawa tragedi adalah `an imitation of the action’ dan terserah kepada kita untuk mentafsir maksud sebenar kata-katanya. Satu lagi interpretasi mengenai drama ialah, segala yang berkait dengan aksi semestinya berhubungkait dan selari dengan kejadian atau peristiwa yang sebenarnya terjadi. Aksi sesebuah cerita yang digarap dengan baik boleh dibandingkan dengan contoh mudah, cuba perhatikan alunan ombak yang bermula dari bentuk yang kecil, bertukar menjadi gelombang yang kemudiannya menghempas pantai. Contoh-contoh begini terjadi dalam hidup manusia, perjalanan hidup seharian mereka adalah contoh paling jelas. Setiap hari seseorang itu berdepan dengan pelbagai situasi dan konflik yang mendorong aksi mereka sebagai tindak balas.

Penulis yang baik telah memikirkan soal aksi lebih awal sebelum menentukan plot, karektor ataupun katabual. Baginya ilham yang muncul akan menjadi asas penulisan cerita seterusnya. Mencipta sesuatu aksi dan tindak balas peringkat awal hingga penyelesaiannya akan diambil kira sebelum ianya ditulis. Kerja-kerja menulis akan menjadi lebih mudah jika seseorang itu memahami apa yang sebenarnya hendak ditulis.

Aksi tidak saja berbentuk fizikal, malah yang lebih mustahak ialah macam mana hendak memanipulasi pemikiran audien dari peringkat awal hingga selesai. Aksi yang berbentuk emosional dan mencabar pemikiran audien adalah lebih mustahak. Seperkara lagi, setiap aksi itu mesti meyakinkan, jika tidak ianya akan gagal menarik minat audien. Setiap aksi yang melibatkan sesuatu isu mesti mempunyai elemen tekanan dan usaha mengatasinya, contohnya, konflik individu tentang cara, idea, asas moral dan hubungkait dengan persekitarannya.

Keperluan aksi dalam sesebuah drama seringkali disalaherti, adalah lebih mudah menulis sesuatu cerita tentang seseorang yang berdepan dengan halangan dan usaha menyelesaikannya. Tetapi harus diingat, halangan tidak semestinya berbentuk luaran dan fizikal, masalah dalam diri itu sendiri merupakan satu bentuk halangan yang perlu diatasi.

Aksi dramatik

Setiap aksi akan melalui perubahan dari peringkat awal lagi, di mana segala tindak balas akan memberi tekanan kepada langkah berikutnya. Di peringkat pertengahan pula, konflik dan kesan tindak balas tadi akan bertembung dan bersambung di peringkat akhir di mana hasilnya akan membawa makna yang sama dari sudut pandangan yang berbeza tetapi menjurus ke arah penyelesaian yang diterima bersama.Maka, adalah jelas, setiap permulaan sesebuah konflik akan menjurus kepada pertentangan idea, tetapi penyelesaian akan dapat dicapai juga akhirnya, caranya adalah melalui jalinan plot yang cerdik. E.M.Forster menjelaskan melalui contoh mudah; Jika seorang raja mati, ianya adalah cerita, tetapi jika raja mati, diikuti dengan permaisuri yang mati kesedihan, adalah plot . Unsur sebab dan penyebabnya adalah antara elemen penting sesebuah drama.

Klimaks sesebuah drama, di mana ketegangan sampai ke kemuncaknya adalah satu peringkat yang paling sukar dan paling penting, ini kerana, elemen suspen menggambarkan kesan yang tidak menentu kepada jalan cerita seterusnya. Di sinilah segala isu yang mewujudkan konflik tersebut dapat dijelaskan dan diberi tumpuan kepada perkembangan cerita selepas itu. Segala-galanya dirungkaikan secara jelas bagaimana masalah itu boleh timbul yang mewujudkan konflik dan sepanjang proses menyelesaikan masalah itu akan ditemui pelbagai halangan, hingga sampai ke satu peringkat segala persoalan yang menjadi beban akhirnya dikenal pasti dan usaha menyelesaikannya akan dibuat sehingga masalah atau kekeliruan itu akan bertemu dengan titik noktah juga akhirnya.

Setelah diketahui penghujung cerita, walaupun tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi tetap memberi kefahaman yang boleh diterima audien. Kesan kepada permasalahan yang timbul dalam penceritaan anda mestilah betul,boleh diterima akal dan meyakinkan, jika tidak, cerita anda adalah gagal. Reaksi audien amatlah penting.

Tegang (Tension)

Bahagian paling penting dalam kerangka dramatik ialah ketegangan (tension). Mengada, mengekal, menimbulkan tanda tanya serta kebimbangan serta menyelesaikan ketegangan adalah antara objektif utama penulisan genre ini. Apakah itu ketegangan? Ketegangan adalah satu keadaan di mana otak/kotak fikiran kita merasa tertekan atau keseronokan, seterusnya menyebabkan jantung kita berdenyut cepat, keadaan ini merupakan elemen biasa suspen yang merangsang tindakbalas selepas menonton sesuatu aksi.

Suspen

Elemen suspen adalah penting dan bertujuan untuk menarik perhatian, juga menimbulkan perasaan ingin tahu, apa yang akan berlaku seterusnya, juga untuk memastikan apa yang sebenarnya berlaku dan menyebabkan seseorang itu seolah-olah dilibatkan dalam situasi berkaitan samada secara sedar atau tidak, dan apakah yang sebenarnya menarik perhatiannya. Suspen juga menyebabkan timbul prasangka terhadap sesuatu situasi, kerana memang itulah tujuannya, untuk mempengaruhi pemikiran dan persepsi audien.

Mencipta situasi yang melibatkan unsur suspen, dan membenarkan karektor mengambil tempoh masa tertentu samada masa yang pendek, atau lama amatlah penting. Penulis baru selalunya melakukan kesilapan kerana tidak memberi tumpuan kepada perkara ini walaupun sudah mengetahui lebih awal tentang perlunya ianya digarap. Jika anda mempunyai idea atau mendapat ilham, teruskan saja menggarapnya dan jangan sesekali menyimpannya semata-mata untuk mendapatkan tambahan idea yang kononnya lagi bagus.

Suspen, menyebabkan wujudnya perasaan dan simpati terhadap karektor. Jika tidak dikerjakan dengan baik, ianya tidak akan menimbulkan rasa peduli audien kepada kejadian-kejadian yang menimpa karektor dan tentunya menyebabkan karya anda akan gagal. Ingatlah, suspen menyebabkan audien tertanya-tanya kenapa dan apa jawapannya, apa reaksi mereka, bagaimana, bila dan siapa yang sebenarnya terlibat. Bina perasaan audien, pengaruhi mereka. Contohnya, katakan anda mencipta satu kejadian tegang tentang cubaan seorang penjahat hendak merogol mangsa yang diculiknya, ciptakan dan bina perasaan audien ke arah memikirkan samada dia akan melakukan perbuatan itu atau tidak? dan seterusnya…dan seterusnya…

Setiap halangan yang berjaya diatasi akan berdepan dengan halangan-halangan baru yang lebih sukar, seterusnya akan meningkatkan kadar suspen serta timbulkan persoalan baru beserta aksi tindakbalas yang semuanya menjurus ke arah penyelesaian masalah. Sebuah cerita yang baik perlu mempunyai elemen aksi yang dinamik dan segar. Selain dari itu elemen suspen juga selalunya dikaitkan dengan elemen misteri, yang antara lain tujuannya untuk menimbulkan keadaan tidak menentu selama mana yang boleh. Sebagai penulis, anda tidak perlu menceritakan semuanya secara mudah, kecuali bila perlu sahaja. Biarkan audien berteka-teki. Proses penciptaan bukan hanya untuk merungkaikan semuanya, tinggalkan sedikit ruang untuk audien berfikir, jangan permudah dan perjelas persoalan dengan cepat, kerana ini adalah antara elemen drama yang penting.

Elemen dramatik yang segar dan menarik, hanya perlu diselesaikan di hujung cerita anda. Jika diberi `klue’ terlalu awal, ianya akan mengganggu perjalanan aksi drama itu sendiri, dan kesempatan untuk menimbulkan tanda tanya di fikiran audien juga akan gagal. Kebanyakan filem dan drama akan bermula dengan aksi-aksi dramatik yang menarik perhatian audien untuk menunggu pengakhiran cerita anda. Selain dari itu, harus diingat, suspen sebenarnya adalah sesuatu yang menyeronokkan, drama itu sendiri adalah aksi dan suspen pula adalah satu proses membentuk kepuasan dan keseronokan yang dihasilkan setelah merasai gangguan pemikiran semasa menonton dan kepuasan setelah mengetahui penyelesaiannya. Maka, sebagai penulis, tanggungjawab ini amatlah berat.




ada lagi….

1 comment: